Amat mudah untuk merancang bagi menghadapi kemungkinan kecemasan. Mulakan hari ini juga! Kita tidak tahu bila bencana akan menimpa, oleh itu sediakan beberapa pelan rancangan. Guna panduan berikut walau di mana anda berada.
Di Rumah
Mulakan dengan mengenalpasti laluan untuk menyelamatkan diri. Lukis pelan rumah dan tandakan pintu-pintu keluar kecemasan. Kemudian pilih dua tempat untuk bertemu: kawasan terdekat di luar rumah dan kawasan di luar kejiranan anda kalau-kalau anda tidak boleh pulang ke rumah. Bergantung kepada jenis kecemasan dan bencana, anda perlu mencari tempat perlindungan di dalam rumah (seperti sewaktu gempa bumi) atau mengosongkan rumah (sewaktu kebakaran).
Perkara-perkara asas yang anda patut ketahui:
* Tutup atau matikan saluran gas, air dan tenaga elektrik
* Lokasi balai bomba, balai polis dan hospital/ klinik di tempat anda
* Tatacara bantuan kecemasan dan kemahiran CPR. Terdapat organisasi seperti Jabatan Pertahanan Awam dan Persatuan Bulan Sabit Merah yang boleh memberi latihan dan tunjuk ajar. Hubungi mereka untuk kelas bimbingan. Anda boleh menyelamatkan nyawa orang lain juga
* Membuat tempat perlindungan sementara, sama ada di dalam rumah atau di luar rumah
Di Tempat Kerja
Majikan anda sepatutnya sudah ada pelan kecemasan – ini sudah ditetapkan oleh undang-undang. Pelan kecemasan bercetak / bertulis ini menggariskan arah laluan kecemasan, bagaimana untuk mengunci pejabat dan mana hendak dituju. Tanya pihak pengurusan jika anda belum mengetahui. Lebih baik juga jika anda menyimpan sedikit bekalan kecemasan di tempat kerja.
Di Sekolah
Jika bencana kecemasan berlaku semasa anak anda sedang berada di sekolah, anda selalunya boleh mendapat maklumat dari radio atau televisyen. Cuba dapatkan cara untuk berhubung dengan anak anda supaya anda boleh mengambil mereka dengan selamat. Kalau ada ahli keluarga atau rakan yang boleh mengambil anak anda, dapatkan bantuan mereka. Sama seperti di rumah, pastikan anak anda tahu siapa untuk dipanggil semasa kecemasan. Pastikan anak anda menghafal nombor telefon rumah dan nombor ahli keluarga atau rakan.
Di Dalam Kereta
Jika anda berada di dalam situasi bencana semasa memandu kereta, pastikan anda pergi ke bangunan yang berhampiran seperti rumah, pejabat atau tempat yang biasa anda lawati. Jika ini sukar dilakukan, berhenti di tepi jalan, tutup enjin kereta dan tutup semua tingkap kereta. Cuba cari tempat berlindung seperti di bawah jambatan.
Apa patut disimpan di dalam kereta?
Jika menghadapi bencana semasa memandu, kereta anda akan menjadi tempat perlindungan. Sebagai langkah keselamatan, berikut adalah antara bekalan kecemasan yang boleh disimpan dalam bonet kereta:
* Lampu suluh
* Kain selimut
* Kit kecemasan
* Pita pelekat
* Air (sekurang-kurangnya 4 liter)
* Tanda isyarat bercahaya (road flares)
No comments:
Post a Comment